
Mukbang
Trend Popular dari Korea Selatan
​
​


Mengapa Mukbang Menjadi Trend?
Sesuai dengan namanya, mukbang ini popular dan menjadi trend di Korea Selatan seawal tahun 2010 yang lalu. Fenomena ini diinspirasikan daripada rancangan televisyen di Korea yang menjemput selebriti Korea untuk makan sambil memberi komen tentang makanan berkenaan. Sejak itu, ramai rakyat Korea telah meniru semula aktiviti ini dan menyiarkan video mukbang melalui akaun media sosial mereka di Internet. Sehingga kini, mukbang tidak hanya dilakukan oleh warga Korea Selatan, malahan turut menjadi ikutan di negara-negara lain seperti Amerika Syarikat, Jepun, China dan tidak ketinggalan, Malaysia.
​
ASMR Mukbang
Selain mukbang, ASMR mukbang turut menjadi ikutan pengguna Internet. ASMR adalah singkatan daripada perkataan ‘Autonomous Sensory Meridian Response’. ASMR ini dianggap sebagai bunyi-bunyian yang menenangkan. ASMR juga boleh didefinisikan sebagai satu terapi dan mampu membuatkan seseorang yang mendengarnya berasa tenang. Kualiti bunyi yang dihasilkan dalam video ASMR sangat menakjubkan kerana setiap bunyi-bunyian yang terhasil dapat didengari dengan sangat jelas dan terperinci. Jadi, apakah kaitannya ASMR dan mukbang ini? ASMR mukbang merupakan aktiviti menyiarkan audio visual seseorang sedang makan, tetapi yang menariknya mengenai ASMR mukbang ialah penonton akan disajikan dengan bunyi-bunyian yang menggiurkan terhasil daripada hirupan, kunyahan dan bunyi lain yang dihasilkan daripada makanan semasa hos sedang menikmati makanannya. Bunyi-bunyian ini mampu membangkitkan rasa lapar si penonton dan cara terbaik untuk menghayati ASMR mukbang adalah apabila memakai headphone mahupun earphone. Di Malaysia, video ASMR mukbang seringkali dimuat naik di channel YouTube ‘SyedotASMR’, iaitu akaun yang dimiliki oleh seorang YouTuber dikenali dengan nama panggilan Syedot.
​
Manfaat Mukbang dan Kebaikan Mukbang
Di Korea, mukbang merupakan salah satu cara untuk menjana pendapatan. Hal ini kerana ada segelintir penonton yang sanggup mengeluarkan sejumlah wang semata-mata untuk menonton siaran langsung mukbang ini. Selain itu, dengan merekod video mukbang, seseorang hos itu boleh membuat paid review melalui cara memakan makanan daripada jenama produk tertentu atau minuman yang dijual oleh peniaga-peniaga atas talian sambil mempromosikannya semasa mereka sedang mengadakan siaran mukbang. Kebiasaannya, hos ini akan dibayar mengikut kadar bayaran berdasarkan populariti akaun media sosial mereka. Jadi, tidak hairanlah kebanyakan hos mukbang di Korea terdiri daripada golongan bujang yang tinggal bersendirian. Mereka memilih untuk merekod video mukbang untuk mengelakkan rasa kesunyian dan sekurang-kurangnya mereka merasakan ada yang menemani mereka semasa makan. Di Malaysia, Syedot turut membuat video ASMR mukbang tentang makanan-makanan yang tular di Malaysia, malahan beliau turut mempromosikan makanan makanan berkenaan. Melalui cara ini, penonton setia channel YouTube beliau dapat mengetahui sedikit sebanyak mengenai makanan yang terdapat di Malaysia.