
SEMBANG SANTAI BERSAMA CHEF DIDI

Mohamad Asrul Ikhwan bin Mohamad Yaacob atau dikenali sebagai Chef Didi adalah seorang chef yang kini berkhidmat di Putra World Trade Centre (PWTC). Chef Didi merupakan anak jati negeri Selangor dan merupakan anak bongsu daripada tiga adik beradik. Sebelum ini, Chef Didi pernah bekerja di Hotel Pan Pacific, KLIA dan pernah juga menimba pengalaman bekerja di “offshore cook” di bawah Syarikat Aquaris. Baginya, pengalaman bekerja di “offshore cook” adalah pengalaman yang tidak dapat dilupakan.
​
Setiap individu yang bergelar sebagai seorang chef sememangnya memerlukan pemikiran yang kreatif dan inovatif dalam setiap perkara yang dilakukan terutamanya apabila menghidangkan atau menyediakan hidangan kepada pelanggan. Walaupun Chef Didi hanya memegang jawatan Commis dan masih baru dalam bidang ini, beliau tetap mengambil serius tentang ketelitian dan sering mencipta hidangan yang baru supaya dapat memberi kepuasan kepada pelanggan. Masakan boleh dianggap sebagai sebuah seni kulinari yang memfokuskan kepada seni kreativiti dan kemahiran teknik masakan. Baginya, pelanggan akan bosan sekiranya tiada inovasi yang dilakukan dalam menu masakan dan hanya menghidangkan makanan yang sama sahaja setiap hari.
